28 Ogo 2013

PERJANJIAN KEMERDEKAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU ! Merdeka!

Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani pada 8 Februari 1956 di Lancaster House, London. Perjanjian ini ditandatangani di antara YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Mr. Alan Lennox-Boyd, Setiausaha Negara Tanah jajahan British bagi pihak Kerajaan British. Mengikut perjanjian ini, kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu akan diisytiharkan pada 31 Ogos 1957. Antara perkara-perkara lain yang tercatat dalam Perjanjian Kemerdekaan ini ialah perubahan berkaitan dengan Kementerian dan jabatan bagi Persekutuan Tanah Melayu serta pemansuhan jawatan Penasihat British.  Wakil dari Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang hadir sama pada upacara ini ialah Dato’ Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Encik T.H.Tan, Encik Abdul Kadir Shamsuddin, Kolonel H.S. Lee dan wakil-wakil daripada Raja-raja Melayu yang terdiri daripada Dato’ Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz (wakil Sultan Perak), Dato’ Nik Ahmad Kamil (wakil Sultan Kelantan), Dato’ Mohd. Seth Mohd. Said (wakil Sultan Johor) dan Encik Abdul Aziz Majid (wakil Sultan Selangor). Manakala perwakilan daripada Kerajaan British yang turut serta pada upacara ini ialah  Mr. John Hore, Menteri Negara; Mr. Donald MacGillivary, Pesuruhjaya Tinggi British bagi Persekutuan Tanah Melayu; Mr. David Watherston, Ketua Setiausaha Persekutuan Tanah Melayu dan Mr. Oscar Spencer, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Persekutuan Tanah Melayu.
YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu semasa di Majlis menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Mr. Alan Lennox-Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan British di Lancaster House, London pada 8 Februari 1956.

Tiada ulasan: