10 Dis 2012

Dr Asri: "Saya tidak pertahankan Izzah"


pada 06-12-2012 08:12 Ditulis Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz



Post Pic
SHAH ALAM: Bekas Mufti Perlis, Profesor Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan beliau tidak pernah mempertahankan Nurul Izzah Anwar bersabit kenyataan kontroversi memberi kebebasan umat Islam untuk memilih agama.

"Saya tidak pertahankan Izzah, tetapi dalam satu keadaan apabila satu orang cakap dan dia tidak maksudkan, jadi bagaimana mereka boleh kata kita hendak tuduh dia.

"Ketika Tun Dr Mahathir cakap pasal Hudud, orang kata dia hina hudud. Saya pula kata dia (Mahathir) maksudkan hudud PAS sebab Tun maksudkan begitu. Jadi adakah waktu itu saya tidak pertahankan Barisan Nasional?

"Kemudian Izzah hubungi saya dan kata dia tidak maksudkan, jadi saya punya peranan apabila ada orang hendak kafirkan dia, saya ada ruang untuk cakap dia tidak sesat, ibaratnya begitulah," katanya ketika ditemui Antarapos hari ini.
Asri dalam kenyataannya sebelum ini berkata, maksud yang cuba disampaikan Nurul Izzah adalah "tiada paksaan dari segi amalan agama Islam" setelah melihat rakaman video berkenaan.

Pada November lalu, Nurul Izzah dalam sebuah forum anjuran gereja Kristian di Subang Jaya berkata orang Melayu beragama Islam harus diberi kebebasan untuk memilih agama seperti bangsa lain.

Bagaimanapun kenyataannya yang tidak disertai dengan natijah yang cukup akhirnya mengundang reaksi negatif pelbagai pihak.

Malah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut melahirkan rasa kesal dengan kenyataan anak sulung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Nurul Izzah kemudian diarahkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk memberi keterangan tentang kenyataan yang didakwa boleh mengelirukan umat Islam.

Berdasarkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan setiap rakyat diberikan hak untuk bebas menjalankan hal ehwal agama masing-masing, namun melarang penyebaran kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam.

Tiada ulasan: