2 Dis 2012

2/3 RAKYAT SANGAT BERPUASHATI DENGAN KERAJAAN BN -

               sumber dari JTPH
     Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Kuala Lumpur: Peratus sokongan rakyat terhadap kerajaan semakin meningkat berikutan pelbagai dasar dan bantuan dilaksanakan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kajian terkini Universiti Teknologi MARA (UiTM) membabitkan 28,788 responden, mendapati 74.2 peratus rakyat puas hati atau sangat berpuas hati terhadap kerajaan.
“Selebihnya 25.8 peratus responden atas pagar atau tidak berpuas hati. Maklum balas memberangsangkan itu berikutan pelbagai perkhidmatan dan bantuan diberikan berterusan kepada rakyat tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya.

Puas hati gagasan 1Malaysia
Beliau yang juga Menteri Pertahanan, berkata kajian terhadap gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri pula mendapati 74.4 peratus rakyat puas hati dan sangat berpuas hati, manakala 25.6 peratus atas pagar atau tidak berpuas hati.
“Ini membuktikan BN dekat di hati rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2012, semalam.
Zahid turut memberi jaminan, kerajaan akan mempertahankan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang diuar-uar akan dihapuskan pakatan pembangkang jika mereka memerintah, sedangkan pasukan itu sebahagian daripada tujuh wasiat Raja Melayu untuk mempertahankan bangsa dan kedaulatan negara.
“Jika RAMD dihapuskan, mereka (orang Melayu) akan bangkit mempertahankan kuasa raja dan wasiat Raja-Raja Melayu,” katanya sambil menambah kerajaan diterajui UMNO juga memainkan peranan penting membantu masyarakat Islam antarabangsa.
Bantu masyarakat Islam
Katanya, ia termasuk membantu mendapatkan pengiktirafan terhadap Palestin sebagai negara pemerhati Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan kuasa autonomi terhadap Bangsamoro di Mindanao, Filipina.
“UMNO juga memberi bantuan kepada masyarakat Islam di seluruh dunia seperti mangsa kekejaman Israel di Gaza serta mangsa Gunung Merapi di Yogyakarta dan tsunami di Acheh, Indonesia.
“Ini berbeza dengan pembangkang yang gagal membela nasib masyarakat Melayu dan Islam, sedangkan kita (UMNO) bukan saja membela nasib Melayu dan Islam, malah menyelesaikan konflik masyarakat Islam di beberapa negara,” katanya.

Tiada ulasan: