APABILA seseorang sedang terbaring di hospital kerana menunggu sembuh daripada pembedahan, banyaklah waktu yang terluang baginya untuk berfikir. Di dalam kesunyian dan kesepian sepanjang malam terbaring keseorangan, maka akan terbayang-bayanglah di dalam fikirannya segala kejadian, peristiwa yang berlaku dan kesan-kesan yang telah timbul, sehingga jelaslah kepadanya masalah dan keadaan yang dihadapi dan juga cara bagaimana persoalan-persoalan itu dapat diselesaikan. Memang benar kata orang, dalam kesepian begini datanglah pelbagai ingatan, perasaan dan juga ilham. Demikianlah yang telah terjadi kepada saya semasa sedang keseorangan di hospital baru-baru ini.
Pada 6 Jun 1969, ketika negara sedang menghadapi krisi yang besar, maka dengan takdir Allah Subhanahu Wata’ala saya dikehendaki masuk hospital sekalipun pada ketika itu hati saya sedang runsing dan fikiran saya penuh dengan peristiwa sedih yang telah berlaku di Malaysia cuma tiga minggu yang lepas.
Saya masuk hospital bukan dengan kehendak hati saya sendiri, tetapi dangan takdir Ilahi. Mata saya telah menjadi lemah oleh kerana terlampau berat memikirkan siang dan malam ketegangan dan krisis yang sedang berlaku, dan saya sendiri telah sedar bahawa mata kanan saya telah bertambah rosak. Jika tidak diubati dengan serta-merta, mungkin penglihatan saya akan hilang.
Maka atas nasihat pakar mata saya, Dr. Keshmahinder Singh dan doktor peribadi saya Dato’ Pillai, saya telah bersetuju menjalani pembedahan mata yang telah lama saya tangguhkan. Seorang pakar pembedahan mata yang masyhur bernama Dr. Redmond Smith dari Moorefield Hospital, England, telah dipanggil untuk menjalankan pembedahan itu. Beliau telah tiba di Kuala Lumpur pada 6 Jun dan saya telah dimasukkan ke Hospital Universiti Kuala Lumpur pada petang itu juga dan menjalani pembedahan pada pagi esoknya.
Semenjak menceburkan diri dalam politik, adalah menjadi kelaziman saya untuk berfikir dengan semasak-masaknya apa jua masalah yang sedang dihadapi se-lepas daripada sembahyang Suboh. Sebenarnya inilah tabiat saya sepanjang hidup. Peristiwa sedih yang timbul dalam beberapa minggu yang lepas telah menjadi soal yang amat berat yang terpaksa saya pikul. Dengan kerana itu sekalipun saya masuk hospital dengan cara terpaksa, tetapi saya menyambut baik kesempatan itu kerana saya dapat berfikir dengan tenang dan semasak-masaknya apa yang telah berlaku di negara yang saya kasihi.
Buku kecil ini adalah hasil daripada renungan saya selama 10 hari dan 10 malam. Sebelum masuk hospital, saya telah pun membuat keputusan dan telah mengisytiharkan bahawa tidak lama lagi saya akan menulis berkenaan dengan pilihan raya baru-baru ini, rusuhan dan kesan daripadanya. Maka bolehlah di-katakan bahawa pembedahan itu ialah satu hikmat daripada Allah sekali pun saya terpaksa menanggung kesakitan.
Saya suka mengambil kesempatan ini untuk melahirkan penghargaan dan terima kasih saya kepada pakar-pakar tersebut, Dato’ Professor Danaraj dan kakitangan Hospital Universiti di atas segala layanan yang telah diberikan kapada saya.
Sekalipun saya bukanlah seorang pengarang, tetapi oleh kerana saya mempunyai masa yang banyak dengan tidak ada apa-apa yang hendak dibuat semasa saya terbaring di hospital, maka saya terfikir eloklah apa yang ada di dalam kepala saya itu dikumpulkan menjadi sebuah buku. Saya teringat kepada kata-kata hikmat ”Di-dalam seseabuah negara yang pendudoknya terdiri daripada orang-orang buta, orang yang mempunyai satu mata adalah menjadi raja”. Ketika di hospital itu saya mempunyai sebelah mata, dan oleh kerana saya tidak ingin negara saya dan pendudok negara ini menjadi buta kepada segala hakikat yang sebenar yang kita mesti hadapi, maka inilah peluang saya untok melahirkan pandangan saya.
Saya tidak mempunya pengalaman dalam lapangan kewartawanan, oleh itu tulisan yang merupakan pendapat saya di dalam buku ini janganlah dinilai dari segi kewartawanan atau kesusasteraan. Pada saya buku ini merupakan satu ikhtiar untuk membuka mata rakyat negara ini kapada hakikat yang sebenar, dan membuka segala kepalsuan dan perbuatan tipu helah, supaya dengan itu timbullah kesedaran bagaimana kita semua dapat memainkan peranan masing-masing dengan sebaik-baiknya untuk hadapan negara kita.
Buku ini bukanlah ditujukan kapada dunia, tetapi kapada saudara-saudara senegara yang tahu dan kenal orang-orang yang disebutkan di dalam buku ini. Saya suka membentangkan kapada mereka perkara dan kejadian menurut pengetahuan dan penyiasatan saya, mengenai hal-hal yang sebenar yang telah berlaku menurut pandangan saya, sekalipun ia dahsyat. Inilah tujuan saya dan saya harap mereka akan merenung dan memikirkan seperti yang telah saya lakukan di atas peristiwa sedih yang kita semua telah alami, sambil berazam bahawa kejadian itu tidak akan berulang lagi buat selama-lamanya.
Dalam tempoh 12 tahun kita hidup dalam sebuah negara yang merdeka, kita telah menghadapi pelbagai kesulitan yang timbul di dalam dan dari luar negara, dan telah berjaya mengatasinya sebagai sebuah negara yang berdaulat dan sebagai satu bangsa yang bebas dan bekerjasama menurut asas-asas demokrasi yang tulen.
Kita telah bersama-sama menderita dan mengalami azab dan sengsara selama tiga tahun semasa peperangan dan pemerintahan Jepun. Selepas itu, setelah tiga tahun kita berada dalam keamanan, sekali lagi kita menghadapi pelbagai ragam percubaan dan penderitaan disebabkan oleh pemberontakan di dalam negara yang dilancar dan dipimpin oleh Parti Komunis Malaya (PKM) iaitu Darurat yang telah berlanjutan selama 12 tahun. Dalam tempoh itulah kita telah mencapai dua kemenangan. Kemenangan pertama kita muncul sebagai satu bangsa yang bebas dan kedua kemenangan yang gilang gemilang mengalahkan komunis.
Selepas penubuhan Malaysia pada 1963, sekali lagi kita menghadapi satu ancaman pencerobohan, dan kali ini dari luar negara. Ini ialah pergaduhan kita dengan Indonesia selama tiga tahun yang dikenali oleh dunia sebagai ”konfrantasi”. Saya sukacita menyatakan bahawa selepas daripada pertelingkahan yang menyedihkan itu, Malaysia dan Indonesia sekarang ini menjadi sahabat yang rapat dan jiran yang akrab.
Sepanjang masa tersebut, suara rakyatlah yang sentiasa memainkan peranan penting. Mereka melahirkan pandangan dan memberikan undi mereka empat kali dalam pilihan raya pertama pada 1955 dalam masa penjajahan British dan kemudian tiga kali lagi dalam masa kita menjadi negara yang bebas iaitu pada 1959, 1964 dan akhirnya 1969.
Sejak mencapai kemerdekaan pada 1957, saya telah ditanya berulang kali, sebagai Perdana Menteri bagaimanakah saya telah dapat menyatupadukan pelbagai kaum sekalipun mereka mempunyai adat istiadat, agama dan cara hidup yang berlainan, dan mengawal mereka supaya berbaik-baik dan hidup dengan aman.
Saya sentiasa menjawab bahawa puncanya terletak di atas tabiat dan rasmi rakyat itu sendiri kerana semua kaum tahu menjaga perasaan antara satu dengan lain dan mempunyai sifat berbaik-baikl. Setiap orang bebas mencari kehidupan masing-masing sama ada dalam perniagaan, pekerjaan atau politik. Sebagai orang perseorangan atau kumpulan, kita mempunyai perasaan sendiri sama ada suka atau pun tidak di atas sesuatu perkara dan kita bebas menyimpan perasaan itu. Kita harus bersetuju atau tidak bersetuju dengan sesuatu perkara, tetapi kita sentiasa bekerjasama kerana kita percaya semangat demokrasi ialah cara yang terbaik untuk kehidupan kita.
Satu contoh pelaksanaan demokrasi yang kita telah lakukan ialah penggubalan Perlembagaan Negara kita. Isi dan kandungan Perlembagaan itu telah di-bahaskan secara terbuka di segenap peringkat dan golongan masyarakat. Mereka telah mengemukakan pandangan mereka dengan bebas sama ada secara berseorangan atau pun beramai-ramai sehingga akhirnya lahirlah satu persetujuan secara keseluruhan, termasuk dalam soal-soal yang ada pertentangan pendapat seperti kerakyatan, Bahasa Kebangsaan dan pertimbangan istimewa untuk kedudukan ekonomi orang Melayu. Perlembagaan kita menjadi satu perjanjian kebangsaan yang mengikat kita semua menjadi satu.
Sungguhpun begitu, kesabaran kita sebagai satu bangsa yang merdeka ada batasnya. PKM telah diharamkan sehingga ke hari ini kerana setelah mengalami pengalaman yang pahit kita telah dapati bahawa tujuan komunis adalah bertentangan pada asasnya dengan cara hidup yang kita pilih. Kita tidak dapat melupakan pemberontakan yang menyebabkan tidak terkira banyaknya nyawa yang telah terkorban dan harta benda yang musnah. Kita terpaksa mengeluarkan belanja yang besar daripada wang negara, sehingga memincangkan kemajuan ekonomi negara kita.
Kita tidak akan sekali-kali membiarkan kuman politik yang seperti ini membiak dan menjahanamkan tubuh badan bangsa dan negara kita. Malangnya, se-bagaimana yang saya akan terangkan dalam buku ini, peristiwa yang berlaku menunjukkan bahawa pengkhianat-pengkhianat komunis masih ada di kalangan kita dan mereka sentiasa bersedia untuk menjahanamkan kemanan dan kemakmuran kita. Dari itu kita juga mesti sentiasa berjaga-jaga bagi menentang pengkhianat itu.
Selain daripada itu Malaysia menjalankan demokrasi liberal di semua lapangan. Parti-parti politik yang lain boleh ditubuhkan dengan bebas dan boleh bergerak dengan terang, dan parti-parti baru sentiasa muncul tetapi secepat itu pula mereka lenyap. Parti saya, Perikatan, hidup terus untuk mempertahankan demokrasi.
Maka dengan semangat persefahaman dan hormat-menghormati antara satu dengan lain di kalangan rakyat negara ini, negara dan bangsa kita telah maju ke -hadapan dengan teratur dan tersusun sejak kemenangan besar yang pertama dalam pilihan raya 1955, dan semangat inilah yang juga telah dipegang oleh rakyat dalam pilihan raya peringkat persekutuan dan negeri, sehinggalah berlakunya peristiwa dalam tahun 1969 ini.
Sebenarnya dalam beberapa tahun yang lepas, perkembangan politik dan kemajuan ekonomi telah berjalan seimbang dan selaras dalam sebuah negara yang bersatu padu, yang rakyatnya hidup dengan puas hati dan bahagia sehingga saya beberapa kali telah menyebut bahawa saya adalah Perdana Menteri yang paling bahagia di dunia. Sunggohpun begitu, pada 13 Mei 1969, dengan tidak semena-mena saya dapati bahawa saya ialah Perdana Menteri yang paling masyghul se-kali. Saya tidak berasa syak bahawa dengan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala, maka dalam masa yang tidak lama lagi saya akan dapat merasakan diri saya se-orang Perdana Menteri yang bahagia.
Jika kita menoleh ke belakang, maka tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa pada umumnya rakyat Malaysia telah hidup terlampau bebas dan bersenang- lenang, dengan tidak mengambil berat sangat hal-hal yang terjadi. Kita telah hidup dalam suasana kesenangan, dan tidak ada sebab kenapa cara hidup kita yang bahagia itu tidak boleh berlanjutan buat selama-lamanya.
Kita tidak sangka bahawa impian kita untuk terus mencapai kejayaan telah berkecai pada 13 Mei tahun ini dalam bentuk rusuhan kaum di Kuala Lumpur yang aman, iaitu suatu pergaduhan dan kekacauan yang tidak pernah berlaku seumpamanya dalam sejarah negara ini.
Banyak orang yang telah terperangkap di tengah-tengah kekacauan dan rusuhan yang ngeri dan dahsyat itu, terutamanya mereka yang berada di panggung wayang, kelab, kedai makan dan tempat hiboran. Orang lelaki, perempuan dan kanak-kanak dari semua kaum terpaksa mencari perlindungan untok menyelamatkan diri mereka seberapa yang boleh.
Banyak orang yang telah terbunuh, dan beratus-ratus pula yang telah tercedera. Rumah-rumah telah dibakar, harta benda dimusnahkan, kenderaan di-jahanamkan. Seluruh bandar ibu kota yang biasanya sibuk tetapi aman telah berada dalam kecemasan. Perbuatan-perbuatan kejam yang berleluasa seperti itu tidak pernah berlaku pada masa dahulu dalam negara ini yang penduduknya daripada pelbagai kaum telah menikmati keamanan dan ketenteraman sejak zaman berzaman.
Perasaan takut dan terkejut telah meresap ke dalam hati sanubari seluruh rakyat, sehingga kita masih berasa menggeletar setiap kali teringatkan kejadian yang dahsyat itu. Dari segi kedudukan alam, Malaysia tidak terletak dalam lingkungan gempa bumi, tetapi 13 Mei 1969, nyatalah merupakan satu letupan gempa masyarakat dan politik yang amat mengerikan.
(Petikan dari buku 13 Mei – Sebelum dan Selepas karya Tunku Abdul Rahman terbitan 1969)
للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan