KUALA LUMPUR, 4 Dis. – Kesungguhan jentera UMNO bersama Barisan Nasional (BN) merealisasikan transformasi dalam usaha memastikan kemenangan lebih dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang telah digerakkan dengan manifestasi terbaru dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang lalu.
Penganalisis politik tempatan, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein melihat bahawa kekalahan BN dalam PRU yang lalu bukanlah realiti kekuatan sebenar pakatan pembangkang sebaliknya ia adalah kesan daripada kekurangan dan kelemahan dalam BN dan UMNO sendiri.
“Berdasarkan keadaan dan perkembangan terkini dapat dilihat bahawa BN/UMNO benar-benar menterjemahkan perubahan sebagaimana ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam sesi penggulungan di Persidangan UMNO Sabtu lalu,” katanya.
Jelas beliau, pemimpin-pemimpin UMNO khususnya Presiden parti sendiri menggunakan sepenuhnya masa yang ada dalam Perhimpunan Agung parti untuk membakar semangat anggota perwakilan dan ahli-ahlinya.
“Tentunya para perwakilan yang hadir akan membawa semangat tersebut bagi diterjemahkan di peringkat bahagian dan diserap oleh anggotanya di peringkat akar umbi.
“Kekuatan BN adalah realiti sedangkan jika sebelum ini pakatan pembangkang menyatakan mereka kuat maka sebenarnya ia adalah dakwaan palsu yang timbul akibat daripada kelemahan dalam BN/UMNO.”
Ujarnya, realitinya pakatan pembangkang memang tidak kuat apatah lagi mereka baru saja berpakat ketika berdepan dengan PRU sedangkan kesepakatan dalam BN telah lama dijalinkan iaitu sejak sebelum merdeka melalui parti Perikatan.
“Berdasarkan perkiraan PRU 2008, BN dianggap lemah lantaran ada d ikalangan anggotanya yang khianat pada parti, sabotaj dan ini menjalar kepada para pengundi sehinggakan beratus ribu undi rosak berlaku.
“Mereka ini adalah golongan yang tidak mahu mengundi BN/UMNO lantaran ada sesuatu yang tidak disenangi tapi dalam masa yang sama mereka tidak mungkin mengundi pembangkang justeru itu wujudlah undi rosak,” katanya.
Namun demikian, menjelangnya PRU ke-13 akan datang, beliau yakin dan optimis bahawa sokongan masyarakat khususnya anggota parti telah kembali kepada BN/UMNO.
“Ucapan Perdana Menteri dan para pemimpin tertinggi UMNO dalam Perhimpunan Agung yang lalu secara jelas memastikan kemenangan lebih dua pertiga adalah munasabah untuk BN apatah lagi tidak banyak perkara yang boleh diperkecilkan.
“Ini ditambah lagi dengan anggota perwakilan yang menjadi pembahas amat bijak menggunakan ruang yang ada iaitu isu-isu yang selama ini dibangkitkan oleh pembangkang berjaya ditangkis dalam ruang yang amat sesuai berlandaskan kepada fakta dan angka.”
Tambahnya yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), keyakinan masyarakat terhadap kerajaan semakin bertambah bukan saja dengan perkhidmatan yang sangat cemerlang dalam mengutamakan kebajikan rakyat malah pelbagai manipulasi yang dibangkitkan oleh pembangkang juga dapat diselesaikan dengan baik.
“Anggota BN, bermula dari kepimpinan tertinggi hinggalah kepada jentera di akar umbi melaksanakan tugas dengan baik sama ada dari segi turun padang, berjumpa masyarakat hinggalah kepada mengupas isu yang dimainkan berdasarkan kepada alasan-alasan yang munasabah dan boleh diterima rakyat.
“Ini amat berbeza dengan pembangkang yang hanya nampak berpakat dalam urusan membabitkan PRU sedangkan dari segi jentera sebenarnya mereka tidak ramai dan yang mencanang mereka gah adalah kepimpinan mereka sendiri yang mendakwanya dalam sesi ceramah tanpa perlu pelaksanaan kerja atau menunaikan janji.”
Katanya lagi, jika diawal kemenangan pakatan pembangkang dalam PRU 2008 lalu, beliau juga berasa spektikal dengan pencapaian BN untuk menempuh PRU tetapi kemudiannya ia berubah selepas melihat kelangsungan transformasi yang direalitikan dengan jayanya oleh BN/UMNO. – MediaUMNO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan