Wednesday, 28 November 2012
Datuk
Seri Najib Tun Razak dikatakan telah mengesahkan bahawa Pilihan Raya
Umum ke-13 (PRU13) tidak akan diadakan bulan depan meskipun dalam temu
bual sempena Perhimpunan Agung Umno (AGM) 2012, yang disiarkan kelmarin,
beliau ada mengatakan musim hujan bukan halangan untuk memanggil
pilihan raya.
Perdana
Menteri yang juga Presiden Umno mengatakan perkara ini kepada ahli-ahli
Umno pada majlis taklimat presiden yang diadakan di Dewan Merdeka,
petang ini sempena AGM kali ini.
"Datuk
Seri Najib sudah mengatakan dengan jelas PRU13 bukan bulan depan.
Beliau berkata oleh kerana ini majlis tertutup, saya boleh memberitahu
pilihan raya bukan bulan Disember, jadi pasal pilihan raya, ini bayangan
yang jelas," kata seorang pemimpin parti kepada Sinar Harian Online.
Majlis Presiden merupakan sesi tradisi menjelang AGM parti.
Pemimpin
yang enggan namanya didedahkan menambah Najib secara berseloroh ada
menyebut bahawa "PRU13 akan diadakan tahun depan" sambil merujuk kepada
tempoh sama ada antara Januari atau April, atau "dalam dua bulan selepas
itu."
"Kita ada antara Januari dan April dan tambahan 60 hari, itu kata Datuk Seri Najib," kata seorang lagi pemimpin bahagian.
Mandat
semasa Kerajaan Pusat akan berakhir 28 April depan. Parlimen akan
terbubar secara automatik selepas itu jika Perdana Menteri tidak
memutuskan untuk berbuat demikian sebelum itu.
Sinar
Harian Online juga difahamkan agensi-agensi kerajaan juga telah menarik
balik arahan membeku cuti hujung tahun yang dikeluarkan sebelum ini.
Maklumat terbaru diterima menunjukkan notis terbaru dikeluarkan meminta
semua cuti dibekukan selepas minggu kedua bulan Februari.
Penganalisis dan pemerhati menjangkakan PRU13 akan diadakan awal Mac depan.
Dalam
temu bual terbaru dikeluarkan kelmarin, Najib berkata, "kalau bulan
Disember tak ada 'election', tahun depanlah. Melainkan kita buat bulan
Disember ini. Kalau hujan atau banjir, boleh naik sampan, naik bot."
Sebelum ini beberapa tarikh ramalan pilihan raya umum sudah pun tersasar.
Najib
pada mulanya mencetuskan teka-teki apabila menyebut angka 11 begitu
signifikan dalam hidupnya sehingga mengundang tafsiran PRU13 akan
diadakan pada tanggal 11.11.11. Tarikh itu sudah jauh meninggalkan kita.
Ada
pula yang menjangkakan Parlimen akan dibubarkan Jun tahun ini dengan
mengambil kira musim cuti persekolahan, namun ramalan itu juga meleset.
Kemudian, timbul pula ura-ura kononnya pilihan raya akan diadakan sebelum Ramadan. Sekali lagi jangkaan itu silap.
Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebelum
ini berkata, agensi itu sedia untuk melaksanakan pilihan raya pada
bila-bila masa termasuk dalam keadaan cuaca yang buruk.
Bercakap
dalam wawancara khas bersama Sinar Harian Online bulan lalu, Aziz
berkata, SPR akan mencari tarikh “paling cantik dalam keadaan yang
buruk” jika perlu berbuat demikian.
Lima
negeri dikatakan bakal terjejas teruk apabila angin monsun timur laut
melanda iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor termasuk Sabah
dan Sarawak.
Jabatan
Pengairan dan Saliran memberi amaran kepada orang ramai, negara bakal
berhadapan risiko banjir besar antara November hingga Mac tahun hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan