4 Dis 2012

Antara janji benar, janji bayang-bayang

Anuwar Ibrahim




SEMASA gelagat seorang individu disentuh sepintas lalu dalam ucapan penggulungan Presiden UMNO Sabtu lepas, Ketua Pene
rangan UMNO Bahagian Labuan, Datuk Yusoff Mahal ada di situ.

Beliau turut mendengar ungkapan presiden: "Saya nak tanya baik ke manusia tu? Baik? Ish ish...kena jaga baik-baik ke?

Bagi Yusoff, beliau kenal sangat dengan individu terbabit. Ketika 'dia' datang ke Labuan September lepas, dicongaknya 3,000 hadirin akan memenuhi ceramahnya. Tetapi yang ada hanyalah sebahagian khalayaknya orang-orang Datuk Lajim Ukin dari Beaufort, sebilangannya pula dari Labuan. Khalayak sebenar yang datang cuma sekitar 600 hingga 700 orang. Itupun pengundi tegar tidak sampai 300.

Sesampai di Labuan, pemimpin pembangkang dari Semenanjung itu membangkitkan isu penyediaan jambatan menghubungkan Labuan ke Menumbok atau tanah besar. Kononnya apabila dia menang, dia akan bangunkan jambatan serta memajukan Labuan lebih baik dari apa yang ada sekarang.

"Bagi kita dia bukanlah ancaman politik yang begitu kuat sangat kalau kita lihat berbanding kunjungan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Labuan baru-baru ini...semasa hari bekerja pun kita dapat khalayak kira-kira 11,000 orang.

"Dan sewaktu Datuk Seri Najib melawat Labuan tahun lalu, lebih daripada 30,000 yang hadir. Anwar dikatakan kecewa dengan sambutan yang tidak menggalakkan di Labuan," kata Yusoff yang juga Ahli Parlimen Labuan kepada Utusan Malaysia, Ahad lalu.

Bagi Yusoff, siapa sahaja calon yang dipilih pucuk pimpinan untuk menggalas cabaran pilihan raya umum ke-13 akan disokong oleh kepemimpinan UMNO bahagian Labuan.

"Kita dari Labuan adalah kota UMNO dan kita telah pun membina jentera pilihan raya kita. Kalau PRU diadakan bila-bila masa sahaja, kita dapat beri keyakinan Labuan adalah salah satu kerusi BN," kata beliau kepada Utusan Malaysia.

Pembinaan jambatan Labuan-Menumbok diakui adalah permintaan rakyat supaya sama seperti jambatan Pulau Pinang.

Jambatan yang dirancang adalah sepanjang 8 kilometer. Kajian Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mendapati pembuatan jambatan itu bakal menelan kos RM2.7 bilion. Pada saat ini kementerian berkenaan cuba melihat kembali sama ada BN boleh mengurangkan bajet pembinaan jambatan itu.

Kata beliau: "Kerana kalau kita fikirkan, RM2.7 bilion terlalu mahal, tetapi mungkin ada cara-cara lain, murah dengan reka bentuk yang membolehkan harga lebih murah.

"Dan walaupun tanpa jambatan, Labuan ada pengangkutan ferinya. Kalau dulu satu operator, sekarang sudah mempunyai tiga lesen pengangkutan feri. Dulu ada satu, sekarang tambah lagi satu pada hari raya hari itu dan akan tambah lagi satu tahun hadapan."

Yusoff menarik perhatian baru-baru ini yang Muhyiddin juga memberi sokongan untuk pembinaan jambatan itu.

"BN merancang untuk membuat jambatan ini. Kalau ini untuk menaikkan ekonomi Labuan, kenapa tidak membinanya. Tapi bukanlah janji PRU kita kerana kemajuan Labuan yang ada hari ini hasil hubungan antara Sabah dan Labuan. Saya rasa ini sudah cukup baik," kata Yusoff.

Kepada penduduk Labuan, apa sahaja boleh dijanjikan pembangkang, hatta itu adalah perangai pembangkang untuk memerintah.

Dengan BN telah memerintah 55 tahun, perancangan pembangunan yang disediakan begitu dikagumi. Malahan Labuan sendiri dikatakan jauh lebih baik daripada sesetengah kawasan Parlimen di Malaysia.

"Kita kalau berjanji, kita ikut kepada perancangan, kita kaji, kita ada duit baru kita tunaikan. Tapi mereka hanya berjanji dengan bayang-bayang. Rakyat harus fikir sama ada mahu mempercayai janji yang sudah ada peruntukan atau janji yang dibayangkan," kata Yusoff.

Jumlah penduduk Labuan terkini dikatakan hampir 100,000 orang termasuklah pengundi berdaftar mencecah 25,000 orang.

Penduduknya yang 70 peratus bumiputera terdiri daripada etnik Melayu-Brunei dan Melayu-Kadayan iaitu satu suku kaum yang turut mendiami Sipitang.

Labuan bukan kecil anak. Labuan adalah pusat atau hab minyak dan gas. Kalau dilihat perkembangan minyak dan gas, Labuan memang cukup hebat dengan Petronas methanol yang ada di situ adalah keempat terbesar di dunia. Dan mungkin terbesar di rantau ini.

"Labuan yang begitu kecil tetapi kerajaan melalui Petronas menempatkan minyak dan gasa di sana, kenapa tidak di tempat lain.

"Ini adalah komitmen kerajaan di mana Labuan sebagai Wilayah Persekutuan akan dibangunkan seperti mana kawasan-kawasan lain,"kata Yusoff.

Ketika ini hampir semua masalah di Labuan telah diselesaikan oleh BN. Cuma masalah yang ada adalah harga barang yang agak tinggi berbanding tempat lain. Berdasarkan Bajet 2013, Perdana Menteri telah mengumumkan Labuan juga akan disediakan Kedai Rakyat 1Malaysia bagi memberikan harga barang yang sama seperti di Semenanjung. Kos pengangkutan akan disubsidi oleh kerajaan.

KR1M akan memberikan daya saing kepada pekedai lain supaya harga barang lebih rendah.

Pada 2008 semasa keadaan politik bergolak pun, Yusoff masih boleh meraih majoriti undi bertambah 8,247 undi berbanding 7,900 pada pilihan raya umum sebelumnya.

Menjawab satu soalan kami, Yusoff berkata, beliau tidak pasti sama ada penyandang kerusi Parlimen Labuan yang lalu dikatakan cenderung ke 'pihak sana'. Namun, sebagai seorang mantan, katanya, pemimpin itu harus bekerjasama dengan kerajaan kerana sebelum ini dia ahli Parlimen BN.

"Alhamdulillah, ekonomi orang Labuan sekarang berbanding 10 tahun lalu cukup baik. Pada bulan puasa lalu, hampir separuh penduduk Labuan turun ke KL (Kuala Lumpur) untuk membeli-belah.

"Isu yang ada hari ini terutamanya agenda tempatan akan dapat BN penuhi. Dengan ini, Labuan akan terus menjadi kubu kuat BN," kata Yusoff.


Oleh Jom Tolak Pakatan Haram Dalam Gaung

pengarang@utusan.com.my

Tiada ulasan: