2 Dis 2012

UCAPAN MENYOKONG DASAR PRESIDEN UMNO PAU 2012'

Assalamualaikum wbt...

YBbhg Tan Sri Pengerusi Tetap, YAB Presiden, YAB Presiden, YB Naib Naib Presiden, YAB Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Ahli Majlis Kerja Tertinggi, sidang perwakilan dan pemerhati yang saya hormati sekalian.

YBhg Tan Sri Pengerusi Tetap,

Saya Khairul Azwan Harun, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri mengambil tempat untuk Perbahasan saya akan menjuruskan kepada dua intipati pokok iaitu kesinambungan kepimpinan melalui pembentukan zuriat UMNO dan kedua istiqamah dalam melaksanakan plan transformasi.

Para perwakilan,ayat yang saya bacakan tadi merupakan doa Nabi Allah Zakaria dari surah Ali Imran ayat 38, yang bermaksud “ Ya Tuhan ku, kurniakanlah kepada ku ari sisi MU zuriat keturunan yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar doa permohonan”.

Sidang perwakilan,

Ayat Allah ini, secara jelas memperlihatkan peri pentingnya zuriat keturunan yang baik. Dalam konteks parti keramat ini, sudah tiba masa, waktu dan ketika bagi kita melahirkan zuriat UMNO yang punya kualiti untuk memastikan kelangsungan kuasa politik terus berada ditangan kita. Manifestasi kepada ayat ini sekiranya kita takwilkan membawa kepada maksud kita mahukan zuriat yang baik. Justeru itu, kita perlu berusaha melahirkan dan merangka pendekatan yang tersusun bagi melaksanakan proses peremajaan dan peralihan generasi dalam parti.

Oleh yang demikian, Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak berpendapat kesinambungan kepimpinan adalah merupakan pra syarat kelangsungan kuasa politik. Bagi maksud itu, UMNO Perak ingin mencadangkan agar parti secara tersusun melaksanakan program “Political Internship”. Melalui program ini, dicadangkan kita menempatkan generasi pelapis khususnya pemimpin pemimpin mahasiswa dan pertubuhan pertubuhan generasi muda di Pusat Pusat Khidmat Wakil Rakyat dan parti. Mereka yang terlibat, perlu kita dedahkan kepada program program parti, disamping memberikan ruang kepada mereka untuk menterjemahkan idealisma yang mereka junjung dalam bentuk program, sesuai dengan hasrat dan kehendak kontemporari mereka.

Proses peremajaan parti ini, tidak seharusnya terhenti dengan terlaksananya program, “Internship” tersebut. Sebaliknya, pada masa yang sama, UMNO perlu melahirkan lebih banyak zuriat yang akan mewarisi parti keramat ini.

Zuriat UMNO yang mahu kita lahirkan ini, mestilah mempunyai ciri ciri :

Pertama : taat dan setia
Kita ingin melahirkan zuriat yang sentiasa meletakkan perjuangan serta matlamat parti mengatasi kepentingan kepentingan lain pada sepanjang masa menggalas nama UMNO di pundak mereka. Peremajaan dan peralihan generasi yang kita harapkan mekar dan subur didalam UMNO akan memadamkan atau melenyapkan sifat sifat individualistik dan unsur-unsur pensabotaj perjuangan.

Kita mahu membentuk generasi yang taat dan setianya tertumpah sepenuhnya kepada perjuangan parti dan akur terhadap keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan. Dalam konteks negara, zuriat UMNO yang taat dan setia ini akan sentiasa menjunjung institusi penting negara. Raja – Raja Melayu akan tetap dipertahankan, Islam didaulatkan, keamanan dikekalkan dan perpaduan disuburkan.

Ciri ketaatan dan kesetiaan ini penting kerana, jika kita lihat pihak disebelah sana benih ketaatan dan kesetian yang ditanam bukanlah perjuangan untuk mengangkat citra agama bangsa dan negara. Sebaliknya, puak puak ini membentuk generasi yang patuh membuta tuli kepada pemimpin yang ingin merosakkan keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Kita lihat bagaimana, orang yang bermimpi untuk menduduki kerusi Perdana Menteri di Putrajaya yang telah dilabelkan oleh YAB Timbalan Presiden sebagai pengkhianat dan dictator, ditaati oleh para pengikutnya walaupun sudah terang lagi bersuluh pemimpin ini cela moralnya.
Pengikut pengikutnya juga, diasuh, diajar dan ditanamkan dengan sifat sifat penderhakaan apabila institusi raja dihina, institusi islam diperlekeh dan perlembagaan negara dinoda atau diliwat.

Ciri kedua zuriat UMNO yang mahu kita lahirkan ialah generasi yang mesra islah. Dalam konteks ini, zuriat UMNO harus sentiasa bersedia bukan sahaja menerima perubahan atau islah, tetapi jauh lebih penting punya deria untuk menghidu dan memahami kehendak perubahan itu sendiri. Makna nya, mereka mampu melangkah setapak lebih kehadapan daripada tuntutan semasa. Mereka juga, akan sentiasa bersedia untuk mencari pendekatan pendekatan diluar kotak kebiasaan bagi memenuhi serta melonjakkan perubahan.

Perubahan yang akan dibawa akan lebih memperkukuhkan lagi apa yang kita capai pada hari ini. Sebagai contoh, program transformasi yang dibawa oleh YAB Presiden merupakan satu pembuktian bagaimana kepimpinan sekarang memahami tuntutan perubahan semasa.

Untuk itu, bagi memastikan transformasi ini berjaya, kita harus melahirkan generasi yang sentiasa mendambakan atau sentiasa dahaga kepada pendekatan pendekatan baru untuk menjamin kelangsungan perjuangan parti dan bangsa.

Barang sudah tentu, perubahan ini, bukanlah sifatnya reformasi. Yang kita laksanakan adalah transformasi. Kalau ikutkan perubahan itu dari kacamata reformasi maka lahirlah generasi demonstran, generasi perusuh, generasi yang sudah hilang tatasusila hingga sanggup melondehkan seluar dan menunjukkan bontotnya.

Dari kacamata reformasi yang dipelopori oleh puak puak pembangkang ini juga telah menyaksikan bagaimana keamanan kita terancam. Kerukunan hidup masyarakat mula luntur dan terbentuknya generasi yang sudah tidak lagi melihat kepada hakikat, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada fitnah, khabar angin dan persepsi.

Untuk itu, Y.Bhg. Tan Sri Pengerusi, marilah kita bersama – sama bermula diperingkat cawangan, bahagian, negeri dan diperingkat pusat, membuka ruang seluas luas nya kepada suara perubahan agar dapat kita depani harapan serta hasrat generasi yang bakal mewarisi susur galur perjuangan ini. Kita tidak mahu keengganan kita menerapkan islah akhirnya akan menjadikan parti kita eksklusif sifatnya dan jumud pendekatannya.

Insyaallah, generasi yang sentiasa mendukung agenda perubahan ini akan membentuk budaya baru dalam UMNO. Mereka akan menjadi golongan yang tahu dimana pintu masuknya dan dimana pintu keluarnya. Mereka akan sentiasa memahami isyarat isyarat yang diberikan oleh akar umbi dan rakyat. Ini seterusnya akan menjadikan proses peralihan dalam parti sebagai satu tradisi.

Para perwakilan sekalian,
Ciri Ketiga zuriat UMNO yang perlu kita lahirkan ialah mensyukuri nikmat. Malah ciri ini juga perlu disemai dikalangan generasi muda diluar daripada lingkungan parti. Untuk itu, UMNO harus menjadi peneraju kepada pembentukan generasi yang sentiasa meletakkan konsep syukur sebagai satu cara hidup. Ianya sesuai dengan sabda baginda Rasullullah SAW dari Nuqman bin Bashir RA yang menyebut “sesiapa yang tidak bersyukur dengan sedikit, nescaya tidak akan bersyukur pada yang banyak, sesiapa yang tidak bersyukur kepada manusia nescaya tidak bersyukur kepada Allah”.

Saudara saudari perwakilan, sejak lebih lima dekad begitu banyak nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah SWT melalui kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional. Nikmat kemerdekaan adalah merupakan nikmat terbesar yang diperjuangkan oleh UMNO bersama pertubuhan – pertubuhan yang lain. Ulama nya, golongan nasionalis nya, golongan agama nya dan seluruh rakyat jelata. Begitu juga dengan nikmat pembangunan, daripada sebuah negara pertanian, kini kita muncul sebagai sebuah negara perindustrian, daripada kemunduran kepada kemajuan, daripada buta huruf kepada celik huruf.

Nikmat ini, tidak hanya berlegar dikalangan orang UMNO sahaja. Melayu, cina, india, iban, kadazan, dusun, penyokong dan penentang, semuanya mengecapi nikmat tersebut.
Alhamdulillah, kalangan orang UMNO dan Barisan Nasional sentiasa mensyukuri nikmat ini. Dengan sebab itu, ciri mensyukuri nikmat harus ditanamkan kepada setiap jiwa zuriat UMNO yang akan kita lahirkan.

Malangnya..........malangnya hari ini, apa yang diajar oleh puak puak pembangkang ialah amalan diluar tabie’ iaitu tidak perlu berterima kasih dan tidak perlu bersyukur. Hasilnya, seperti yang dapat kita lihat gerakan mereka untuk menggalakkan anak anak muda tidak perlu membayar hutang seperti PTPTN sebagai contoh. Memenuhi jalan jalanraya sehingga merosakkan harta benda awam, mencederakan pasukan keselamatan, menabur pasir dalam periuk peniaga peniaga kecil. Ini semua adalah bukti bukti nyata didepan mata kita bagaimana mereka tidak mensyukuri nikmat keamanan dinegara yang bertuah ini.

Mereka tidak bersyukur dengan apa yang mereka kecapi hari ini, mereka seolah olah mahu memadamkan sejarah dengan menafikan sumbangan dan jasa yang telah ditabur oleh UMNO dan Barisan Nasional. Inilah wajah hodoh, generasi yang bakal dibentuk oleh pembangkang sekiranya kita membenarkan mereka melangkahkan kaki ke Putrajaya.

Sementara kita ingin melahirkan generasi yang bersyukur pada masa yang sama, kita yang berada disini pada hari ini perlu juga menghayati dan menterjemahkan konsep syukur dalam gerakan kepartian kita. Jangan nanti, kita tidak ubah seperti ketam mengajar anak berjalan lurus.


Saudara saudari perwakilan,

Dengan ciri ciri zuriat UMNO yang mahu kita lahirkan itu, ia akan mewujudkan budaya Istiqamah dalam perjuangan. Yakni satu gerombolan atau satu pasukan yang tidak akan berpaling daripada perjuangan dalam apa jua keadaan sekali pun.

Terbentuknya, tamadun tamadun hebat dunia, adalah kerana wujudnya ramai pejuang pejuang yang sentiasa istiqamah dalam gerakan mereka. Istiqamah ini penting, kerana ia merupakan penyatuan hati, lisan dan perbuatan. Apa yang ada di hati, apa yang diungkapkan oleh lidah dan apa yang dikerjakan, bergerak sederap dan senada.

Istiqamah juga, akan menjamin gagasan besar yang dirangka mencapai kejayaan.
Dalam konteks hari ini, setiap daripada kita, baik yang berada didalam dewan ini mahupun mereka yang berada diluar sana, terus beristiqamah dalam melaksanakan transformasi yang telah digariskan oleh pucuk pimpinan. Transformasi ini, adalah terjemahan daripada denyut nadi rakyat. Transformasi ini, adalah manifestasi yang disuarakan oleh rakyat dan transformasi ini adalah agenda besar untuk masa depan rakyat yang lebih gemilang.

YAB Presiden, yakin dan percayalah, walau apa yang difitnah oleh pembangkang, walau apa yang diumpat oleh pembangkang, itu sebenarnya mengambarkan kegentaran mereka kepada sentuhan sentuhan yang telah dilaksanakan oleh YAB Dato Seri dan kerajaan Barisan Nasional.

Begitu juga dalam konteks kami dinegeri Perak, pelbagai serangan dibuat oleh pembangkang terhadap kepimpinan negeri, dengan bermacam macam tuduhan, kononnya UMNO sudah tidak relevan lagi, UMNO tidak punya masa depan, tetapi hakikatnya, mereka takut kerana hari ini, UMNO dan Barisan Nasional sudah didakap semula oleh rakyat hasil sentuhan pemimpin yang tidak pernah putus putus menyelesaikan masalah masalah yang dihadapi oleh mereka.
Y.Bhg Tan Sri Pengerusi Tetap,

Akhirul kalam, dengan zuriat UMNO yang taat setia, dengan zuriat UMNO yang sentiasa menerima perubahan atau islah dan dengan zuriat UMNO yang sentiasa mensyukuri nikmat, insyaallah kita akan terus istiqamah dalam perjuangan ini demi memastikan UMNO dan Barisan Nasional, mencapai kejayaan yang cemerlang pada Pilihanraya Umum yang ke 13 nanti.


Ayat Quran ; Surah Ali Imran ayat 139
Yang bermaksud “janganlah kamu merasa lemah dan janganlah kamu berduka cita, padahal kamulah orang orang yang tertinggi mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan jika kamu orang orang yang beriman.

Dengan peringatan Allah itu, Y.Bhg. Tan Sri, Perak mohon menyokong.

Tiada ulasan: