SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jumlah penyelesaian hutang Talam Corporation Holdings dengan anak-anak syarikat kerajaan negeri berjumlah RM392 juta belum muktamad kerana ia dilakukan secara berperingkat.
Sebagai contoh, katanya, urusniaga antara anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) dengan Talam Corp masih belum dikemaskini.
Abdul Khalid mengulas kenyataan Ketua Biro Profesional Muda MCA Datuk Chua Tee Yong semalam bahawa pengumuman KHSB baru-baru ini di Bursa Malaysia menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam langkah kerajaan negeri itu mengutip balik hutang Talam.
Abdul Khalid berkata, "Mengikut cadangan laporan audit pihak ketiga kalau ada pinjaman yang masih belum dibayar oleh Talam dan ada hubungannya dengan Hartanah (KHSB) ia memberi peluang kepada Hartanah untuk membuat tuntutan.
Menteri Besar bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan surat watikah pelantikan Ketua-ketua Kampung Negeri sesi 2013/2014 di sini.
"Kita hanya tentukan RM392 juta untuk peringkat yang kita nak buat. Saya taknak kita asyik buat tuntutan tapi tidak selesai pembayarannya. Jadi kita buat berperingkat," katanya.
Menyentuh mengenai manifesto Pakatan Rakyat untuk memberi elaun bulanan kepada para ibu tunggal jika menubuhkan kerajaan, beliau berkata manifesto adalah suatu wawasan bukannya janji dan bantuan kewangan kepada rakyat miskin perlu diproses terlebih dahulu.
"Boleh jadi millionaire (jutawan) pun cakap dia miskin. Kita tolong ibu tunggal bukan bermakna kita kena tolong semua ibu tunggal, ada ibu tunggal yang berpendapatan tinggi, ada ibu tunggal yang jadi doktor, ada ibu tunggal yang jadi dentist," katanya.
Mengenai perkembangan pemasangan sistem penguatkuasaan automatik (AES) di dua kawasan Majlis Daerah Sepang yang didakwa didirikan tanpa kelulusan, Abdul Khalid berkata pihak berkuasa tempatan mulai Jumaat ini akan menutup kamera itu sehingga Kementerian Pengangkutan membuat permohonan secara rasmi dengan kerajaan negeri.
Jika tiada respon daripada kementerian itu dalam tempoh dua minggu, kemungkinan kerajaan negeri akan mengambil tindakan mengarahkan majlis daerah terlibat untuk menanggalkan peralatan AES itu, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan